Sarapan kawal berat badan

Sejak kecil kita diajar untuk bersarapan. Dalam apa juga keadaan, ibu akan memastikan ada sajian yang terhidang di meja, walaupun hanya sekeping roti dan secawan teh panas. Biasanya ibu sudah memikirkan menu sarapan supaya suami dan anak-anak boleh memulakan hari dengan baik.

Oleh kerana zaman dulu belum ada Internet, jadi ibu perlu menjadi insan kreatif untuk mengelakkan rasa jemu. Jadi terhasillah pelbagai jenis nasi goreng – bergantung kepada rencah yang minimum ketika itu seperti nasi goreng telur, ikan bilis, kunyit, kicap dan tomato. Jemu dengan nasi, ibu beralih kepada lempeng, kuih muih, roti canai mahupun mi yang dibuat sendiri.

Begitulah usaha ibu zaman dahulu dalam menanam tabiat mengambil sarapan pada awal pagi sebelum memulakan hari. Zaman sekarang, tugas ibu menyediakan sarapan jauh lebih mudah dan pantas. Namun dalam keadaan yang serba mudah ini, ramai yang gagal menjadikan bersarapan sebagai amalan walaupun tahu kepentingannya.

Malah dalam kalangan ibu sendiri, ramai yang melengahkan atau tidak bersarapan langsung lantaran dirasakan badan masih bertenaga melaksanakan tugas seharian. Apabila terlalu lapar, kita cenderung untuk memilih makanan yang kurang sihat ketika makan tengah hari dan tidak hairanlah jika ramai yang mengalami masalah pengurusan berat badan, apatah lagi rata-rata antara kita jarang bersenam.

Pengarah Kanan, Latihan dan Pendidikan Nutrisi Sejagat Herbalife Susan Bowerman, juga mengakui ramai yang tahu kepentingan sarapan tetapi masih tidak melakukan perkara itu walaupun ia baik untuk kesihatan.

Jika ditanya, pastinya ramai yang akan memberikan jawapan mahu ‘bersarapan’ itu menjadi agenda harian yang tetap dan teratur. Tetapi bagaimana caranya? Bagaimana kita boleh menjadikan ia sebagai amalan?

Terlalu banyak sebab dan alasan boleh diberikan oleh orang yang ‘sukar’ berdepan dengan makanan setiap pagi. Selain kesibukan, ada kalanya ia disebabkan oleh sikap dan tabiat kita sendiri yang tidak menjadikannya bersarapan sebagai rutin.

Ramai berasakan mereka boleh saja meneruskan hari tanpa sarapan. Anda secara tidak langsung memberitahu diri sendiri, sarapan itu tidaklah terlalu diperlukan.

Apabila kita bangun tidur pada waktu pagi, badan kita sebenarnya melalui satu tempoh yang panjang tanpa makanan. Walaupun sedang tidur, badan kita tetap ‘bekerja’ dan menggunakan tenaga yang disimpan untuk memastikan semua fungsi berjalan lancar.

Tanpa sarapan, badan akan kekurangan tenaga (mental dan fizikal) untuk menjalani hari. Bukan itu saja, tabiat bersarapan akan memudahkan usaha mengawal berat badan. Kajian menunjukkan individu yang bersarapan lebih berjaya dalam menurunkan dan mengekalkan berat badan seimbang.

Panduan untuk semua

Bowerman berkongsi enam langkah untuk membantu kita menjadikan bersarapan sebagai amalan tetap sepanjang hayat.

1. Mulakan dengan sarapan yang ringan dan mudah

Walaupun dikategorikan sebagai hidangan yang ringan dan mudah, tetapi sarapan perlulah mengandungi khasiat diperlukan badan. Anda boleh mencuba protein kocak atau roti dengan keju dan telur rebus. Untuk hidangan yang menyegarkan, selitkan juga sepotong buah-buahan kegemaran anda.

2. Masukkan sumber protein

Protein amat penting kerana ia bukan saja membantu anda berasa puas, malah ia juga membolehkan minda sentiasa peka dan fokus. Kajian menunjukkan individu yang menikmati sarapan kaya protein mengambil kurang 200 kalori pada waktu petang. Ini satu berita baik khususnya bagi orang yang hendak mengurangkan berat badan.

3. Kecilkan saiz hidangan

Anda boleh mengecilkan saiz hidangan sarapan untuk diambil beberapa kali sebagai snek. Bagi sesetengah orang mungkin sukar untuk menghabiskan sandwic dan minuman panas ketika duduk di meja makan. Jadi anda boleh memotong sandwic supaya saiznya boleh dinikmati dua atau tiga kali. Lengkapkan juga snek anda ini dengan hirisan buah.

4. Bangun 15 hingga 30 minit lebih awal

Walaupun ia tampak remeh, tetapi perbezaan waktu bangun tidur ini membawa perubahan besar bagi individu yang perlu bergegas ke tempat kerja selepas menunaikan solat Subuh. Anda bukan saja ada masa untuk menikmati sarapan ringkas, tetapi anda juga memberi peluang kepada sistem badan untuk ‘benar-benar bangun’ daripada tidur!

5. Makan makanan yang menarik selera anda

Sebenarnya tiada istilah ‘menu khusus untuk sarapan’. Apa saja boleh menjadi sarapan anda termasuklah sayur yang ditumis bersama baki ayam goreng yang disimpan dalam peti sejuk. Apa yang penting, ia mestilah berkhasiat.

6. Jangan terlalu bergantung kepada kopi dan sandwic

Ada orang berasakan sarapan mereka tidak lengkap tanda kopi dan sandwic atau produk bakeri. Ada banyak sajian tempatan yang boleh dijadikan menu sarapan anda. Tiada makanan yang baik atau tidak baik, asalkan ia diambil secara bersederhana. Cuma bagi yang mahu menurunkan atau mengawal berat badan, elakkan sajian yang bergoreng dan tinggi kandungan kalorinya.

Sumber : Harian Metro https://www.hmetro.com.my/hati/2018/07/359425/sarapan-kawal-berat-badan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *